Monday, June 14, 2010

Selamat Kembali...



Sudah lama tak menulis blog... Saya ni jenis yang banyak membaca tapi kurang menulis..
Baru- baru saya ada jumpa satu web yang penuh dengan info yang amat bagus untuk sesiapa yang berminat menambah ilmu kewangan & Perancangan Kewangan...

Dipetik dari :http://min.com.my/min/article.aspx?menu=4&menuAttch=189&sec=article

Mengapa kita memerlukan pelan kewangan? Jika mahu kejayaan dalam apa jua usaha - tidak kira sama ada hendak berperang atau hendak menganjurkan majlis menyambut tahun baru, semuanya memerlukan perancangan rapi. Begitu juga jika mahu melaburkan wang.

Mereka yang matang, bijak dan pandai selalu berkata, kita tidak merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang.

Perancangan kewangan bukan sahaja memberi gambaran tentang kedudukan kewangan kita yang terkini tetapi juga memberi hala tuju masa hadapan kita dengan menetapkan matlamat kewangan, dan dengan demikian membolehkan kita mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Teruskan melayari bahagian ini kerana ia akan membantu anda membentuk pelan kewangan sendiri.

Nilai Kedudukan Kewangan Anda
Sebelum meneruskan sebarang pelan pelaburan, anda perlu menilai kedudukan kewangan sendiri, misalnya menilai perbelanjaan yang perlu dan simpanan yang ada, supaya anda boleh membuat keputusan berapa banyak yang boleh ditabung dan dilaburkan. Mungkin buat masa ini anda berbelanja sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa memikirkan berapa baki wang yang tinggal pada setiap hujung bulan.

Untuk menentukan kedudukan kewangan anda, teruslah membaca laman berikutnya:

Pertama, pastikan nilai bersih wang anda
Nilai bersih simpanan boleh disamakan dengan lembaran imbangan sesebuah syarikat. Ia menggambarkan kedudukan kewangan anda. Untuk mengira nilai bersih simpanan, anda perlu menyenaraikan semua aset dan tanggungan anda. Kemudian tolak tanggungan daripada aset untuk mendapat nilai bersih simpanan.

Aset merangkumi wang tunai, akaun bank, barang-barang berharga seperti barang kemas atau barangan antik, pelaburan sedia ada seperti saham atau unit amanah dan aset tetap seperti rumah atau hartanah.

Tanggungan pula termasuklah sebarang pinjaman anda (untuk membeli kereta, rumah, malah pinjaman daripada keluarga dan kawan-kawan), kad kredit dan sebarang hutang lain jika ada.

Jika selepas dikira, nilai bersih adalah negatif, bermakna anda belum mampu melabur. Lupakan sahaja soal pelaburan buat sementara waktu dan berusaha supaya nilai bersih wang anda bertukar positif. Sebaliknya, jika nilai bersih adalah positif, perlu pula dilihat sama ada ia mencukupi untuk memenuhi semua keperluan akan datang. Mungkin jumlahnya perlu ditingkatkan supaya lebih banyak boleh dilaburkan.

Bagaimana untuk meningkatkan nilai bersih wang? Satu caranya adalah dengan mengurangkan perbelanjaan. Sebarang lebihan wang tunai daripada perbelanjaan boleh dimasukkan dalam senarai aset bagi meningkatkan nilai bersih.

Tetapi, perbelanjaan yang mana pula perlu dipotong? Untuk menentukannya:

Buat penyata aliran tunai
Anda perlu mengesan ke mana wang dibelanjakan; buat analisis aliran tunai mengenai corak pendapatan dan perbelanjaan. Pertama sekali, susun semua penyata gaji, resit, bil, penyata cukai dan data kewangan yang lain dalam satu rekod untuk menunjukkan berapa banyak pendapatan yang telah diperoleh dan berapa banyak pula telah dibelanjakan setiap bulan untuk sepanjang tahun. Senaraikan dan teliti setiap perbelanjaan untuk memastikan yang mana boleh dikurangkan supaya akhirnya nanti anda mempunyai aliran tunai yang positif - iaitu lebih banyak wang masuk berbanding wang keluar.

Ketika berlatih membuat aliran tunai, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dan ada soalan yang perlu ditanya pada diri sendiri, antaranya:

Pendapatan anda: Berapa gaji anda? Adakah anda mempunyai sumber pendapatan lain - kerja sambilan, dividen, rumah yang disewakan, bonus. Jika membuat analisis untuk seisi keluarga, pendapatan suami atau isteri patut dimasukkan sama.


Aliran wang keluar: Ini termasuk perbelanjaan rumah dan sara hidup seperti makanan, pakaian dan barangan keperluan harian; penjagaan kereta dan petrol; bayaran balik pinjaman kereta, kad kredit atau sewa rumah; premium insurans; perbelanjaan untuk pendidikan dan perubatan; perbelanjaan bercuti dan hiburan; bayaran cukai pendapatan, zakat dan lain-lain. Senarai ini panjang sekali.

Di sinilah anda perlu memutuskan yang mana perbelanjaan perlu dan yang mana pula sekadar membazir sahaja - potong mana-mana perbelanjaan yang dianggap membazir supaya lebih banyak wang dapat ditabung.

Susun belanjawan untuk memastikan perbelanjaan terkawal. Belanjawan itu akan menjadi penentu apa yang anda mampu belanjakan. Misalnya, anda tidak mampu makan malam di restoran yang mahal setiap minggu jika belanjawan anda menunjukkan yang anda hanya mampu makan di kedai kopi. Bagaimanapun, sesekali mungkin anda ingin berbelanja lebih sempena hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan; jadi jangan lupa masukkan perbelanjaan seperti itu dalam belanjawan. Tetapi jangan pula berlebihan.


Jika anda berasa lemas dengan data yang panjang lebar ketika mengatur pelan kewangan, dapatkan bantuan teknologi komputer yang canggih. Dalam dunia hari ini, pakej perisian komputer adalah umpama tulang belakang yang direka cipta untuk membantu anda menyusun dan mengawal belanjawan. Kebanyakan program perisian komputer ini boleh membantu anda menyusun belanjawan dan memeriksa perbelanjaan, malah mengira jumlah yang perlu ditabung untuk pelaburan serta mengawasi pelaburan anda.

Setelah kewangan dapat dikawal, langkah seterusnya ialah:

Tetapkan Matlamat Kewangan Anda
Cara mudah untuk menetapkan matlamat kewangan adalah melalui perancangan awal untuk beberapa jangka masa - dua tahun, lima tahun, 10 tahun, 20 tahun dan seterusnya. Kemudian, fikir tentang keperluan dan keinginan anda (atau keluarga), dan jadikan ia sebagai matlamat khusus yang ingin dicapai untuk setiap jangka masa yang telah ditentukan.

Matlamat anda boleh meliputi perkara-perkara yang memang diperlukan (umpamanya, memiliki rumah dalam masa lima tahun atau pembiayaan pendidikan anak-anak dalam masa 10 tahun atau simpanan untuk hidup selesa selepas bersara), hinggalah kepada perkara-perkara yang sejak sekian lama sudah diidamkan tetapi belum dapat dicapai (seperti bercuti naik keretapi Orient Express). Bagaimanapun, matlamat anda harus tentu, wajar, berfaedah dan bukan impian Mat Jenin.

Kemudian, kira berapa banyak wang diperlukan untuk memenuhi setiap matlamat tersebut. Jangan pula rasa takut melihat jumlah yang telah dianggarkan. Melainkan mereka yang memang sudah banyak menabung, kebanyakan kita perlu bekerja keras menambah tabungan untuk mencapai matlamat yang diimpikan - dan menambah tabungan boleh juga dibuat melalui pelaburan.

Tujuan laman ini adalah untuk mengajak anda belajar cara bijak untuk melabur supaya mendapat pulangan yang diharap-harapkan bagi mencapai matlamat yang diimpikan.


Bentuk Program Pelaburan Anda
Sekarang anda sudah pun menetapkan matlamat dan sudah mengemaskinikan belanjawan anda untuk mendapat angka sebenar lebihan belanja yang boleh dilaburkan, tetapi ada satu lagi perkara yang perlu dilakukan sebelum memulakan langkah melabur. Kebanyakan perancang kewangan menasihatkan kita supaya, sebelum membuat sebarang pelaburan, sisihkan perbelanjaan sekurang-kurangnya untuk tiga hingga enam bulan bagi menghadapi waktu terdesak (umpamanya jika kehilangan pekerjaan) atau masalah aliran tunai yang tidak dijangka. Mereka yang sudah berkeluarga adakala dinasihatkan supaya menabung untuk perbelanjaan hingga setahun.

Setelah penampan waktu terdesak ini disediakan, anda boleh menimbangkan berapa banyak lebihan daripada pendapatan yang boleh digunakan untuk pelaburan bagi mencapai matlamat kewangan anda. Mulakan secara kecil-kecilan dan kemudian tingkatkan jumlah pelaburan setelah tabungan meningkat. Atau anda boleh juga memulakan pelaburan dengan menggunakan sebahagian daripada wang simpanan dan kemudian, setelah berasa lebih yakin, tambahkan tabungan untuk pelaburan.

Peruntukan aset: pelbagaikan pelaburan
Soalan seterusnya yang perlu anda tanya diri sendiri, dalam aset mana wang anda hendak dilaburkan? Patutkah anda membeli saham atau bon? Bagaimana kalau melabur dalam sekuriti kerajaan? Unit amanah? Hartanah? Atau bertindak lebih berani dan melibatkan diri dalam niaga hadapan?

Anda perlu buat kajian dahulu. Pertama, cari jenis produk pelaburan yang boleh anda peroleh, bagaimana setiap pelaburan itu dilaksanakan dan apa risiko terbabit. (Sebagai permulaan, anda boleh klik Produk Pelaburan di laman ini). Ketika membuat penyelidikan mengenai sesuatu pelaburan, bermakna anda sedang menyelidik sesebuah syarikat atau pertubuhan kerana merekalah yang menerbitkan saham, sekuriti, unit amanah, bon dan lain-lain. Ada banyak maklumat boleh diperoleh, sama ada di media, dalam talian, dan daripada syarikat itu sendiri, yang membolehkan anda mengenali syarikat tersebut secara lebih dekat. Amat penting anda mengetahui secara jelas mengenai syarikat tersebut seperti jenis produk, prestasi, pasaran, saingan dan jenis industrinya bagi membolehkan anda membuat ramalan tentang prospek masa depannya. Mengapa? Sebab pelaburan anda bergantung kepada masa hadapan.

Anda tidak sepatutnya melabur dalam satu aset tertentu sahaja; supaya pelaburan anda berjaya, anda patut memilih gabungan beberapa kelas aset atau rangkaian pilihan beberapa aset tertentu dalam satu kelas aset (umpamanya melabur dalam pelbagai sektor sekiranya ekuiti adalah satu-satunya pilihan anda). Dalam perkataan lain, pelbagaikan pelaburan. Menentukan berapa banyak wang yang hendak dilaburkan dalam setiap kelas aset untuk membentuk portfolio pelaburan dipanggil pembahagian aset.

Bagi anda, gabungan aset keseluruhan yang tepat bergantung kepada matlamat, jangka masa yang ditetapkan untuk mencapai matlamat tersebut, jumlah wang yang anda ada untuk dilaburkan dan umur.

Jika anda ada pelan jangka panjang dengan matlamat untuk menyekolahkan anak anda daripada sekolah rendah ke peringkat universiti, anda boleh memulakan pendekatan agresif dengan memperuntukkan peratus lebih tinggi dalam pelaburan ekuiti. Tetapi, jika jangka masa yang ditetapkan adalah lebih singkat, anda mungkin perlu bersikap sederhana dan membuat peruntukan sama rata antara ekuiti dan bon yang lebih selamat. Jika dana pelaburan anda agak kecil, ini bermakna anda perlu memilih unit amanah. Umur anda juga harus diambil kira. Secara amnya, jika anda lebih berusia, anda patut lebih konservatif dalam membuat pelaburan dan tumpuan anda juga harus beralih kepada produk pelaburan yang menghasilkan pendapatan seperti bon.

Menggariskan semua pertimbangan ini dan menentukan pendekatan pelaburan yang mana perlu diambil ialah penentu paling utama dalam menghadapi risiko - sebab itu, ketahanan anda sebagai pelabur terhadap risiko adalah amat penting. Malah, pelaburan anda dalam aset tertentu dalam lingkungan setiap kelas sebahagian besarnya didorong oleh keupayaan anda menghadapi risiko. Untuk itu, sila rujuk bahagian Risiko, Ganjaran dan Anda Sebagai pelabur untuk memahami konsep pelaburan yang amat penting ini, sebelum anda membuat keputusan akhir dalam memilih pelaburan.

Laksanakan Program Anda
Jika anda telah bersedia untuk melaksanakan pilihan pelaburan yang telah dibuat, bila masa paling baik untuk memulakannya?

Jawapannya mudah saja! Lebih awal, lebih baik! Memulakannya awal memang digalakkan supaya anda ada lebih banyak masa untuk mengembangkan pelaburan. Jika anda masih muda, lebih banyak masa untuk anda membuat pelaburan dan menambah tabungan. Jika anda kini berada di pertengahan kerjaya, anda masih boleh mencapai matlamat kewangan - cuma ia memerlukan lebih tabungan. Walaupun anda mungkin kini berada pada usia hampir bersara, jangan fikir sudah terlewat untuk memulakannya! Ingatlah, lebih baik lewat daripada tidak berusaha langsung!

Ketika mula melabur, jangan melabur secara melulu. Bak kata orang, naik keretapi yang betul pada waktu yang tepat, sangat penting jika hendak sampai ke tempat dituju pada waktunya. Nasihat kami: Beli apa yang anda tahu. Jika anda tidak memahami sesuatu jenis pelaburan, jangan menceburkan diri sehingga anda faham semua konsepnya. Berfikir dan bertindak rasional untuk membeli pada harga rendah (dan menjual pada harga tinggi). Jangan biarkan perasaan tamak mengatasi pertimbangan wajar, misalnya beli saham pada harga sangat tinggi (atau enggan menjualnya kerana mahu lebih banyak keuntungan).

Elakkan daripada bertindak mengikut khabar angin. Memang biasa terdengar cakap-cakap di pasaran mengenai harga sesuatu saham akan naik. Selepas itu, semua orang akan berlumba-lumba membeli saham tersebut. Pembelian yang meningkat secara tiba-tiba itu menyebabkan harga saham tersebut melonjak, dan ini memberi peluang kepada pihak yang memulakan khabar angin itu untuk menjual saham mereka pada harga tinggi. Kesudahannya, siapa yang terpaksa pegang saham yang tinggi harganya itu? Sebab itu, sentiasa ingat peribahasa Melayu lama ini:

"Dengar cakap enggang,
makan buah belolok,
dengar cakap orang,
terjun masuk lubuk!"